Dalam sedar tak sedar kita sudahpun melewati separuh perjalanan daripada bulan syaaban. Bermakna tinggal separuh bulan lagi baki masa sebelum kita menjejakkan kaki di bulan penuh barakah; Ramadhan Al-Mubarak. Teringat saya akan kampung saya di Sg. Sumun Perak. Disana terdapat sebatang titi yang merentas parit kecil dihadapannya. Kata arwah atuk yang meninggal pada tahun lepas;“Kalau ada duit lebih, bolehlah baiki titi tu. Korang kutipla duit adik beradik(merujuk adik beradik sebelah ibu) sorang sedikit. Keluarga makin bertambah. Titi tuh dah semakin usang. Tidak lama lagi mungkin runtuh.” Mengenangkan titi tersebut, bagi saya terkandung 1001 nostalgia dalam hidup saya. Titi yang usang itu sudah saya rentasinya hampir puluhan tahun semenjak dari kecil lagi. Barangkali titi itu sudah direntasi puluhan mungkin ribuan orang yang datang mengunjung atas urusan qariah masjid atau membayar zakat disebabkan atuk adalah imam masjid. Bahkan ketika menguruskan jenazah arwah sahaja, ratusan orang yang hadir untuk ikut solat jenazah sehinggakan ianya terpaksa dilakukan diatas tanah berhampiran titian usang itu.







